Matematik

Sunday 9 October 2011

Strategi dan Ciri-Ciri Pemusatan Murid


Strategi pemusatan murid merujuk kepada pembelajaran berpusatkan murid di mana guru berperanan sebagai pembimbing atau fasilitator sahaja. Ini bermakna, murid memang memainkan peranan yang sangat penting dalam proses pembelajaran. Dalam pembelajaran, murid-murid adalah digalakkan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran mereka. Bagi melancarkan lagi sesi pembelajaran, guru membimbing murid ketika menjalankan aktiviti pembelajaran secara individu atau dalam kumpulan. Dari segi pengagihan masa dalam perancangan guru, kebanyakan masa lebih banyak digunakan oleh murid untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang telah dirancang oleh guru. Antara kaedah pembelajaran yang menggunakan strategi pemusatan murid adalah seperti kaedah kumpulan, inkuiri penemuan, perbincangan, penyoalan, penyelesaian masalah, bermain, simulasi, main peranan dan sumbang saran.

Ciri-Ciri Strategi Pemusatan Murid :
1.     Melibatkan penglibatan secara aktif murid di dalam pembelajaran di
        mana guru hanya sebagai pembimbing ketika menjalankan aktiviti.
2.     Wujudnya komunikasi dan interaksi antara guru dan murid secara dua
        hala.Kaedah penyoalan boleh digunakan untuk membantu murid
        berfikir secara kritis ketika memberikan jawapan.
3.      Amalan demokratik wujud di mana murid digalakkan memberi
         pandangan ketika melakukan aktiviti perbincangan dalam kumpulan.
4.      Wujudnya perkembangan secara menyeluruh dan seimbang dari segi
          intelek, rohani, sosial dan jasmani.
5.      Strategi pengajaran dan pembelajaran mengutamakan pencapaian
         hasil pembelajaran.
6.      Penilaian formatif selalu digunakan untuk mengenalpasti kelemahan
         murid dalam sesuatu tajuk.
7.      Murid berpeluang berinteraksi dengan banyak sesama murid bertujuan
         menyemai semangat kawan supaya pandai bekerjasama,
         tolong-menolong dan bertolak ansur.
8.      Sifat kreatif dan ada inisiatif semasa melakukan aktiviti.
9.      Penyampaian guru ditumpukan kepada pengajaran yang bermakna
         supaya murid-murid dapat memahami fakta-fakta yang disampaikan
         dan mereka berupaya membuat kesimpulan.

FALSAFAH PENDIDIKAN DAN KURIKULUM (KPF 1013)

No comments:

Post a Comment